DAVID MOYES: Dapat kepercayaan pengurusan Manchester United untuk terus pimpim kelab ulung itu mencapai kemenangan. Foto AP
15 Aug 2013
LIGA PERDANA ENGLAND
Tiga pasukan utama dalam pertandingan musim lalu kini mendapatkan pengurus pasukan baru dengan David Moyes mengambil alih tempat Sir Alex Ferguson.
Manuel Pellegrini pula akan menggantikan Roberto Mancini untuk memimpin Manchester City sementara Jose Mourinho kembali ke pangkuan pasukan Chelsea setelah pasukan dari Stamford Bridge itu tidak lagi memerlukan tenaga Rafael Benitez.
Kemunculan Pellegeri dan Mourinho barangkali mengancam reputasi United, tetapi Moyes yang mendapat kepercayaan untuk memimpin pasukan dari Old Trafford akan berusaha untuk menjamin keunggulan pasukan yang telah menguasai Liga Perdana England selama 20 tahun akan terus terjamin.
Berbanding Pellegeri dan Mourinho, tugas Moyes, 50 tahun, adalah sungguh mencabar.
Sebab, bekas pengurus pasukan Everton tidak mempunyai pengalaman bersaing merebut empat pasukan utama dalam pertandingan ini.
Moyes akan sentiasa berada dalam bayangan keunggulan Ferguson, yang sepanjang memimpin United selama 26 tahun, telah menjuarai 26 kejuaraan.
Moyes akan menjadi sasaran kecaman jika pasukan itu gagal menunjukkan persembahan meyakinan dalam beberapa jadual perlawanan awal.
Antaranya menentang pasukan Chelsea, City dan Liverpool.
Selain itu, Moyes juga berdepan dengan kedudukan pemain penyerangnya, Wayne Rooney, yang dikatakan berminat menyertai Chelsea.
Melihat kepada perlawanan-perlawanan ujian menjelang pertandingan ini, tahap persembahan United adalah jauh daripada membanggakan.
Para peminat United juga kelihatan resah dengan kedinginan pasukan itu dalam usaha mendapatkan pemain-pemain yang lebih berkualiti.
Usaha United untuk melamar Cesc Fabregas dari Barcelona dan Leighton Baines dari Everton telah ditolak tetapi selepas kemenangan 2-0 ke atas Wigan Athletic dalam Perisai Masyarakat di Stadium Wembley pada Ahad lalu, Moyes berkata beliau gembira dengan senarai pemain dalam skuadnya.
"Kami semakin hampir untuk mendapatkan pemain yang sedang dicari tetapi dalam pada itu, tarikh penutup untuk mendapatkan pemain-pemain juga semakin hampir," Moyes memberitahu.
"Saya harap kami dapat pemain baru tetapi jika kami gagal, saya tetap gembira dengan skuad yang ada sekarang ini," Moyes menambah.
Berbanding Moyes, Mourinho tahu apa yang perlu dilakukan untuk membantu Chelsea menjuarai pertandingan ini.
Sebab, Mourinho pernah membantu perjuangan Chelsea untuk menjuarai Liga Perdana England pada 2005 dan 2006.
Berusia 50 tahun, Mourinho bertekad untuk terus mengharumkan pasukan Chelsea sekalipun ada pandangan yang menyebut beliau tidak sewajarnya memimpin pasukan yang pernah berjaya di bawah pimpinannya.
Kini, pendekatan Mourinho dari gaya permainan juga berbeza. Beliau telah mengetepikan corak permainan serangan balas.
Sebaliknya, beliau ingin melihat Chelsea lebih banyak menguasai rentak permainan dalam mengatur serangan.
Pellegrini mungkin tidak pernah memimpin sebarang pasukan di England tetapi keputusannya untuk menyertai City pada awal musim telah memberikan beliau peluang untuk mengenali skuadnya.
Selain itu, beliau telah mendapatkan dua pemain Sepanyol, Jesus Navas, Alvaro Negredo selain Fernandinho dari Brazil dan penyerang Montenegrin, Stevan Jovetic.
No comments:
Post a Comment