MENGUATKAN LAGI PASUKAN: Tiga
pemain baru yang dibeli oleh Manchester City (dari kiri) Alvaro Negredo,
Stevan Jovetic dan Jesus Navas. – Foto AFP.
14 Aug 2013
LIGA PERDANA ENGLAND
City menunjukkan kesungguhan merebut semula mahkota liga yang dimenanginya pada musim 20112012 dengan membelanjakan sejumlah £90 juta ($176 juta) bagi mendapatkan pemain baru.
Sejak pelantikan pengurus baru Manuel Pellegrini dan sokongan kewangan hartawan Sheikh Mansour, City membeli Jesus Navas, Stevan Jovetic, Alvaro Negredo dan Fernandinho bagi memperkukuh skuad mereka yang sudah pun dibarisi bintang antarabangsa.
Navas, pemain sayap lincah asal Sepanyol, dibeli dengan bayaran perpindahan £15 juta daripada Sevilla dan dijangka menguatkan jentera midfield.
Jovetic, penyerang asal Montenegro pula, dibeli dengan harga £22 juta daripada kelab Italy, Fiorentina, dan diharap dapat menambah ketajaman barisan penggempur.
Beliau akan dibantu oleh Negredo, yang dibeli dengan bayaran £20.6 juta, juga daripada Sevilla.
Namun, pemain paling mahal dibeli Pellegrini ialah Fernandinho, seorang lagi pemain midfield yang berasal dari Brazil dan didapatkan daripada Shakhtar Donetsk dengan bayaran £30 juta.
Sokongan daripada pihak atasan yang tidak teragak-agak membeli pemain menyebabkan Pellegrini berasa amat gembira dan yakin ia akan membuahkan hasil merebut mahkota Liga Perdana.
Di sebalik kesibukan City itu, Liga Perdana pada musim yang bakal menjelang ini juga akan bermula tanpa kehadiran Alex Ferguson buat pertama kalinya sejak November 1986. Ferguson mengumumkan persaraannya akhir musim lalu.
Juara bertahan, United, yang kini dibimbing bos baru, David Moyes, menghadapi masalah berbeza.
Walaupun pemilik kelab, keluarga hartawan Amerika Syarikat, Malcom Glazer, menyediakan cukup wang bagi membeli pemain, nampaknya pemain yang menjadi sasaran United tidak berminat menyarung jersi kelab itu.
Dua pemain midfield berpengaruh, Thiago Alcantara dan Cesc Fabregas, kededuanya asal Sepanyol dan mewakili kelab Barcelona, enggan berpindah ke United.
Satu-satunya pemain yang dibeli Moyes sejak menggantikan Ferguson ialah Guillermo Varela, pemain bek asal Uruguay yang dibeli daripada kelab Penarol.
Pemilik Chelsea, Roman Abramovich, yang dulu gemar berbelanja besar, kini lebih menumpukan perhatian mengawal perbelanjaannya dan sejauh ini meluluskan pembelian tiga pemain sahaja iaitu pemain sayap Jerman Andre Schurrle yang berharga £18 juta daripada Bayer Leverkusen; Marco van Ginkel, pemain midfield asal Belanda, yang berharga £8 juta; dan penjaga gawang Australia, Mark Schwarzer, yang didapatkan secara percuma daripada Fulham.
Pengurus baru, Jose Mourinho, masih memburu sasaran terbesarnya, Wayne Rooney, tetapi United masih menolak dua bidaannya, yang terbaru sebanyak £25 juta.
Arsenal pula merancang membuat rombakan pada skuadnya dengan membeli beberapa pemain utama tetapi rancangannya tinggal harapan sahaja walaupun lembaga kelab bersetuju menambah dana untuk membeli pemain.
Pengurus Arsene Wenger menghadapi masalah serupa Moyes di United apabila sasaran utamanya, Gonzalo Higuain, penyerang asal Argentina daripada Real Madrid, memilih menyarung jersi kelab Serie A, Napoli.
Usaha Wenger mendapatkan penyerang Liverpool, Luis Suarez, juga menghadapi jalan buntu apabila kelab Anfield itu menolak tawaran keduanya.
No comments:
Post a Comment