Friday, 16 August 2013

Sekilas Sukan :Gol Lambert bantu England kalahkan Scotland


LONDON: Penyerang Rickie Lambert membantu England mengalahkan musuh tradisi, Scotland, 3-2 di Stadium Wembley kelmarin selepas menjaringkan gol kemenangan dengan sentuhan pertamanya dalam perlawanan antarabangsa.
Lambert, 31 tahun, menanduk masuk golnya sejurus dimasukkan pada minit ke-70 untuk memberi kemenangan kepada England yang sebelum ini ketinggalan dua kali.
Sebelum itu, kededua pasukan berbalas jaringan dengan Scotland menjaringkan gol-golnya menerusi James Morrison dan Kenny Miller tetapi Theo Walcott dan Danny Welbeck menyamakan kedudukan. - Reuters.
Switzerland kejutkan Brazil dengan satu gol
BASEL (Switzerland): Brazil mengalami kekalahan mengejut 0-1 di tangan Switzerland dalam satu perlawanan persahabatan kelmarin dengan pemain bek, Dani Alves, tertanduk gol ke gawang sendiri.
Perlawanan bermula agak rancak dalam separuh masa pertama yang menyaksikan tiga pemain dilayang kad kuning, termasuk Philippe Senderos dan Valon Behrami serta Neymar.
Namun, Switzerland membuat kejutan tiga minit dalam separuh masa kedua apabila Alves, yang cuba menyelamatkan keadaan, tertanduk bola ke gawangnya sendiri daripada umpanan Haris Seferovic dari sayap kanan. - AFP.
Jerman hanya mampu seri dengan Paraguay
BERLIN: Jerman terpaksa bertungkus lumus bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk memaksa keputusan seri 3-3 dengan Paraguay dalam satu perlawanan persahabatan yang mendebarkan di Kaiserslautern kelmarin.
Paraguay seakan berjaya mencatat kemenangan sulung ke atas pasukan tuan rumah selepas mendahului dengan dua jaringan menerusi Jose Ariel Nunez dan Wilson Pittoni tetapi Ilkay Gundogan dan Thomas Mueller menyamakan kedudukan.
Miguel Samudio kemudian menjaringkan gol ketiga Paraguay sebelum Lars Bender menyelamatkan Jerman daripada malu besar dengan menjaringkan gol penyamaan ketiga, 15 minit sebelum tamat permainan. - AFP.
Argentina hebat kalahkan Italy
ROME: Argentina mempamerkan kehebatan apabila mengalahkan Italy 2-1 walaupun beraksi tanpa kehadiran penyerang Lionel Messi dalam satu perlawanan antarabangsa di Rome kelmarin.
Dalam perlawanan yang menyaksikan aksi hebat itu, Argentina membuka jaringan menerusi Gonzalo Higuain pada minit ke-20 sebelum Ever Banega menjaringkan gol kedua, tiga minit selepas rehat.
Italy cuba bangkit tetapi hanya mampu merapatkan jurang apabila Lorenzo Insigne menjaringkan golnya pada minit ke-76. - Reuters.
Portugal seri dengan Belanda hasil gol Ronaldo
PORTO: Satu gol pada minit-minit akhir perlawanan oleh Cristiano Ronaldo membolehkan Portugal seri 1-1 dengan Belanda dalam satu perlawanan persahabatan di Stadium Algarve kelmarin.
Pasukan Belanda, yang belum kalah dalam enam perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia sebelum ini, mendahului jaringan menerusi pemain midfield, Kevin Strootman, pada minit ke-17.
Portugal, yang turun ke padang tanpa beberapa pemain utama, termasuk Joao Moutinho, Nani dan Silvestre Varela, cuba bangkit lebih awal tetapi terpaksa menunggu sehingga lima minit sebelum tamat permainan apabila Ronaldo muncul di depan gawang untuk menjaringkan gol penyamaan.

No comments:

Post a Comment

Busuk.com

Bacaan ilmu di sini