LONDON:
Manchester City menjadi pasukan pilihan memenangi mahkota Liga Perdana
England musim ini sedang jirannya, Manchester United, Arsenal dan
Chelsea masih berusaha membeli pemain bagi mengukuhkan pasukan
masing-masing.
City menunjukkan kesungguhan merebut semula mahkota liga yang
dimenanginya pada musim 20112012 dengan membelanjakan sejumlah £90 juta
($176 juta) bagi mendapatkan pemain baru.
Sejak pelantikan pengurus baru Manuel Pellegrini dan sokongan
kewangan hartawan Sheikh Mansour, City membeli Jesus Navas, Stevan
Jovetic, Alvaro Negredo dan Fernandinho bagi memperkukuh skuad mereka
yang sudah pun dibarisi bintang antarabangsa.
Navas, pemain sayap lincah asal Sepanyol, dibeli dengan bayaran
perpindahan £15 juta daripada Sevilla dan dijangka menguatkan jentera
midfield.
Jovetic, penyerang asal Montenegro pula, dibeli dengan harga £22 juta
daripada kelab Italy, Fiorentina, dan diharap dapat menambah ketajaman
barisan penggempur.
Beliau akan dibantu oleh Negredo, yang dibeli dengan bayaran £20.6 juta, juga daripada Sevilla.
Namun, pemain paling mahal dibeli Pellegrini ialah Fernandinho,
seorang lagi pemain midfield yang berasal dari Brazil dan didapatkan
daripada Shakhtar Donetsk dengan bayaran £30 juta.
Sokongan daripada pihak atasan yang tidak teragak-agak membeli pemain
menyebabkan Pellegrini berasa amat gembira dan yakin ia akan membuahkan
hasil merebut mahkota Liga Perdana.
Di sebalik kesibukan City itu, Liga Perdana pada musim yang bakal
menjelang ini juga akan bermula tanpa kehadiran Alex Ferguson buat
pertama kalinya sejak November 1986. Ferguson mengumumkan persaraannya
akhir musim lalu.
Juara bertahan, United, yang kini dibimbing bos baru, David Moyes, menghadapi masalah berbeza.
Walaupun pemilik kelab, keluarga hartawan Amerika Syarikat, Malcom
Glazer, menyediakan cukup wang bagi membeli pemain, nampaknya pemain
yang menjadi sasaran United tidak berminat menyarung jersi kelab itu.
Dua pemain midfield berpengaruh, Thiago Alcantara dan Cesc Fabregas,
kededuanya asal Sepanyol dan mewakili kelab Barcelona, enggan berpindah
ke United.
Satu-satunya pemain yang dibeli Moyes sejak menggantikan Ferguson
ialah Guillermo Varela, pemain bek asal Uruguay yang dibeli daripada
kelab Penarol.
Pemilik Chelsea, Roman Abramovich, yang dulu gemar berbelanja besar,
kini lebih menumpukan perhatian mengawal perbelanjaannya dan sejauh ini
meluluskan pembelian tiga pemain sahaja iaitu pemain sayap Jerman Andre
Schurrle yang berharga £18 juta daripada Bayer Leverkusen; Marco van
Ginkel, pemain midfield asal Belanda, yang berharga £8 juta; dan penjaga
gawang Australia, Mark Schwarzer, yang didapatkan secara percuma
daripada Fulham.
Pengurus baru, Jose Mourinho, masih memburu sasaran terbesarnya,
Wayne Rooney, tetapi United masih menolak dua bidaannya, yang terbaru
sebanyak £25 juta.
Arsenal pula merancang membuat rombakan pada skuadnya dengan membeli
beberapa pemain utama tetapi rancangannya tinggal harapan sahaja
walaupun lembaga kelab bersetuju menambah dana untuk membeli pemain.
Pengurus Arsene Wenger menghadapi masalah serupa Moyes di United
apabila sasaran utamanya, Gonzalo Higuain, penyerang asal Argentina
daripada Real Madrid, memilih menyarung jersi kelab Serie A, Napoli.
Usaha Wenger mendapatkan penyerang Liverpool, Luis Suarez, juga
menghadapi jalan buntu apabila kelab Anfield itu menolak tawaran
keduanya.