BERJAYA DITUMPASKAN: Anggota
polis memeriksa seorang daripada tiga penjenayah yang mati ditembak
berhampiran Plaza Tol Sentul Pasar, Kuala Lumpur, kelmarin.
KUALA
LUMPUR: Kurang empat jam selepas menyamun seorang wanita yang baru
mengeluarkan wang di sebuah bank di Klang, tiga penjenayah warga
Indonesia ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di
Plaza Tol Sentul Pasar, petang kelmarin.
Sebelum itu, kesemua suspek yang menaiki sebuah kereta bersama sebuah
kereta lain serta sebuah motosikal menyamun mangsa pada 11.30 pagi.
Dalam kejadian itu, mangsa yang baru masuk ke dalam keretanya sejurus
keluar dari bank dihalang dua kereta itu di bahagian depan dan belakang
kenderaannya.
Seorang penunggang motosikal kemudian berhenti, memecahkan cermin kereta wanita itu dan melarikan wang tunai RM2,000 ($782).
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar, berkata
berdasarkan maklumat sebuah kereta yang disyaki dipandu rakan suspek
berjaya dikesan di Plaza Tol Sentul Pasar, manakala salah sebuah kereta
lagi yang terlibat dalam kejadian samun itu sedang bergerak ke lokasi
sama.
Katanya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis menjejaki kereta tersebut sebelum memintasnya di plaza tol berkenaan.
"Semasa mengarahkan mereka berhenti dan menyerah diri, ketiga-tiga
suspek bertindak agresif dengan melepaskan tembakan ke arah kereta
polis. Polis yang membalas tembakan itu berjaya menembak mati
ketiga-tiga mereka.
"Beberapa lagi rakan mereka yang dipercayai sedang menunggu di dalam
sebuah lagi kereta di lokasi kejadian telah melarikan diri," katanya,
lapor Utusan Malaysia.
Pemeriksaan polis menemui sebilah parang dan sepucuk pistol di dalam kereta tersebut.
"Polis kini memburu beberapa lagi rakan suspek yang menaiki sebuah
lagi kereta dan motosikal dalam kejadian samun itu. Kita percaya kesemua
suspek bergiat aktif dalam jenayah dan terlibat dalam beberapa kes
samun terutama di luar bank di Selangor dan ibu negara," tambah Datuk
Abdul Rahim.
Mereka dipercayai ada kaitan dengan kes samun luar bank, termasuk
yang berlaku beberapa hari lalu yang menyebabkan seorang mangsa
kehilangan RM35,000 yang dikeluarkannya untuk majlis korban.
Pemeriksaan lanjut menunjukkan kereta suspek yang mati ditembak dan
sebuah lagi di plaza tol berkenaan didaftarkan di atas nama dua lelaki
warga Indonesia
SAMBUNG BACAAN...
No comments:
Post a Comment